Perkongsian rasa buat mereka yang masih ada bonda atau yang sudah tiada. Bila mahu tidur nanti,pejam mata, ingat balik kisah kamu bersama bonda. Semoga tidur kamu dipeluk rasa sayang.
(i)
Malam ini
aku titipkan puisi
buat bonda
agar terasa aku diribaannya
tenang
lena.
Bonda
waktu aku kecil-kecil dulu
aku ini pemalu berjumpa orang-orang baru
selalu menyorok muka dibelakangmu
bila bonda tanya mengapa
aku jawab, “takut, mama”
bonda , ketika itu pasti kamu hanya tersenyum melihat aku.
Bonda
waktu aku kecil-kecil dulu
ketika sifat nakal aku ini menjadi ujian buatmu
pasti bonda selalu kata,
“Anak mama jangan nakal, tak sayang mama?”
sedih suaramu bonda.
Bonda
waktu aku kecil-kecil dulu
ingat tak, yang aku ini selalu aja suka bersendirian
di tingkap itu aku selalu duduk tanpa berteman
angin yang berhembus itulah sahabat aku
buku kecil dan pensil itulah penghubung jiwa aku
bonda selalu bertanya, “tidak mahu berkawankah?”
aku cuma tersenyum dan menggeleng sahaja.
Bonda
waktu aku kecil-kecil dulu
ketika ayahanda selalu kerja diluar
kita hanya berdua dirumah
bila mahu tidur, bonda selalu bercerita kadangkala itu bonda bersyair
agar aku tenang lena hingga esoknya
aku masih ingat bonda,
aku suka mendengar cerita Laila dan majnun
aku suka didoikan syair sang pujangga
suaramu bonda, itu pengubat luka lara dalam jiwa.
(ii)
Seawal pagi kini
bila mata ini mampu lagi celik
pasti aku teringat
suaramu memanggil nama aku
tangan lembap mu dek kerna air wudhuk itu membelai muka dan mengejutkan aku
semua itu bonda
membuatkan segala urat badan aku segar untuk bangun semula.
Bonda
kadangkala jika hadir rasa kosong dalam jiwa
pasti kamu tahu segala
tidak perlu mulut aku bicara
tidak perlu untuk aku menyusun kata
kamu tahu kan segalanya bonda
kerna tiba-tiba pasti ada panggilan darimu bertanya
“Kenapa anak mama? Sedih ya?”
Tapi itu semuanya kisah kita dulu bonda
aku kini hanya mampu bukukan seagalanya di dalam jiwa
tiada siapa pun dapat membaca
hanya aku, diri aku, bersama kisah aku.
(iii)
Bonda
kini aku benar-benar perlu peluk darimu
aku ingin jadi seperti anak kecil dahulu
Disini
sekarang ini
aku berdiri rasa kelu
aku melangkah rasa dihimpap batu
aku duduk bagai dilambung kesana kesitu
aku menunggu tanpa siapa menyambut aku
jatuh
jatuh
akhirnya aku hanyut berlalu
Bonda
aku mahu tangan kamu
ubati luka nanah aku
sekat tangis aku
rangkul erat aku
tolong bonda
sakit ini bonda
anak mu makin hanyut berlalu
(iv)
Bonda
tika tangan ini memohon padaNYA
ku pujuk tuhan agar tenangkan bonda
sekat airmatanya
sejukkan hatinya
melihat aku di sini
bila aku tiada
tidak mampu membuat apa
Bonda
aku simpankan puisi ini
buat mu
sampai satu masa nanti
tanggan mu menarik aku
ke syurga bersama.
Aku tunggu,
bonda.
No comments:
Post a Comment