SEPI ANGIN DARI KINABALU...

ku titipkan rinduku dari perantauan pada kedua orang tuaku di dalam blog ini...Ya Allah Ya Tuahnku,limpahkan lah Rahmat kasih sayangMu pada mereka....lindungi dan jauhkanlah mereka dari kecelakaan serta kurniakanlah kebahagiaanMu pada mereka di dunia dan akhirat....sesungguhnya aku terlalu menyayangi mereka...amin..

Saturday, March 19, 2011

Kecantikan Sejati Bukan Di Wajah


"Boleh saya melihat anak saya?" pinta seorang ibu yang baru melahirkan seorang anak dengan penuh kebahagiaan. Ketika gendongan itu berpindah ke tangannya dan ia membuka selimut yang menutupi wajah bayi lelaki yang comel itu.
Ibu itu menahan nafasnya. Doktor yang menunggunya segera berbalik memandang ke arah luar jendela rumah sakit tidak sampai hati menatapi wajah ibu tersebut. Bayi itu dilahirkan tanpa kedua belah telinga.
Waktu berlalu dan kini bayi tersebut telah menjadi seorang anak yang boleh berkativiti dengan sempurna, cuma penampilannya saja yang tampak aneh dan buruk.
Suatu hari anak tersebut bergegas pulang ke rumah terus membenamkan wajahnya di pelukan ibunya yang menangis. Ia tahu hidup anaknya penuh dengan kekecewaan dan tragedi. Sambil teresak-esak anak lelaki itu mengatakan yang dia diejek oleh orang dewasa dan dikatakan anak ini adalah makhluk aneh.
Di sekolah anak tersebut disukai oleh rakan-rakan sekolah. Anak tersebut membesar tampan dengan kecacatannya. Dia berbakat dalam bidang muzik dan penulisan.
"Ibu,saya ingin menjadi ketua kelas."
Ibu hanya mendiamkan diri, tapi di dalam hati ibu merasa kasihan dengan anaknya.
Suatu hari si Ayah terus berjumpa dengan seorang doktor yang boleh melekatkan telinga untuk anaknya.
"Saya percaya saya boleh memindahkan sepasang telinga untuknya, tetapi harus ada orang yang tampil untuk menderma".
Beberapa bulan kemudian si ayah memanggil anaknya sambil berkata, "Nak, seorang yang tak ingin dikenali telah bersedia mendermakan telinganya padamu. Kami harus segera mengirim kamu ke hospital untuk menjalani pembedahan tetapi jangan ditanya siapa yang menderma."
Pembedahan dilakukan dengan berjaya dan kini telah lahir seorang lelaki yang mempunyai cukup sifat. Bakat muziknya yang hebat menjadikan ia terkenal dan menerima banyak penghargaan dari sekolahnya.
Masa berlalu dan dia pun berkahwin dan bekerja sebagai seorang yang berpangkat besar. Terdetik di hatinya tentang masa-masa silam lalu menghampiri ayahnya.
"Ayah, saya hendak mengetahui siapa yang telah mengorbankan ini semua pada saya, ayah. Ia telah membuat sesuatu yang amat besar dan ingin sekali saya membalas budinya."
Ayahnya menjawab, "Ayah yakin kau tidak boleh membalas kebaikan hati orang yang telah memberikan telinga itu."
Setelah terdiam sesaat ayahnya melanjutkan kata-kata, "Ayah tidak dapat membuka rahsia ini sebelum tiba saatnya."
Tahun berganti tahun ayahnya tetap menyimpan rahsia. Hinggalah pada suatu hari tibalah saat yang menyedihkan bagi keluarga itu. Di hari itu ayah dan lelaki itu berdiri ditepi jenazah ibunya yang baru saja meninggal dunia. Dengan perlahan dan penuh syahdu si ayah membelai rambut isterinya yang terbujur kaku sambil menyelak rambut sehinggalah tampak bahawa si ibu tidak mempunyai telinga.
Sambil menangis si ayah berkata, "Ibumu sangat suka menyimpan rambut yang panjang dan tak seorang menyedari bahawa ia telah hilang sedikit kecantikkannya."
Kecantikkan yang sejati tidak terletak pada penampilan tubuh tapi di dalam hati. Harta karun yang hakiki tidak terletak pada zahirnya, namun pada apa yang tidak dapat dilihat. Kasih sejati tidak terletak pada apa yang telah dikerjakan dan diketahui, namun pada apa yang dikerjakan dan tidak diketahui.

Qaradawi Dan Misyar; Aku Mahu Jadi IBU!!

SEANDAINYA seorang wanita berhasil menggenggam dunia, berhasil mendapatkan semua anugerah penghargaan dari dunia dan berhasil mendapatkan semua kehebatan dunia, namun tidak mempunyai suami, sebenarnya wanita tersebut sangatlah miskin.
Dalam-dalam saya tanamkan persepsi itu ke jiwa saya. Persepsi itu didatangkan dari lidah seorang nisa yang sudah memacakkan besi tekad yang tidak boleh digoyang gugat. Sebagai rafik yang setia, saya cuba menghulurkan seulas persefahaman.
Namun ruang fikir saya yang waras ini payah untuk menjumlahkan persetujuan. Saya risaukan nasibnya pada hari-hari mendatang. Nasib bakal zuriatnya yang akan dikemudi seorang pendayung sahaja. Sepatutnya, berat dayung di tangan suami, berat jugalah dayung di tangan isteri dalam menongkah samudera kehidupan yang sesekali dipukul gelora.
Biarlah masa depan itu datang sendiri. Jangan cemas dengan hari esok. Kalau hari ini aku mampu lakukan yang terbaik, insyaallah esok akan baik juga Nafeesah, kan?
Zulaikha yang saya kenali memang bijak menangkis hujah. Barangkali kerana kebijaksanaan itu jugalah tiada lelaki yang berani menitipkan cinta. Zulaikha, wanita bijak yang sudah terlajak usia, payah diajak mencari cinta kerana istiqamahnya terhadap kerjaya payah diinjak-injak dan sukmanya hanya terletak kasih ayahanda bonda. Cuma akhir-akhir ini dia telah terserempak dengan satu rasa yang menggetarkan tetapi indah!
Zulaikha menggilai Yusuf? Saya menduga. Polos.
Bukan menggilai. Mengagumi. Aku, Zulaikha, cintakan kesolehan seorang Yusuf. Aku pencinta akhlaknya! Aku mahu Yusuf menuntun aku ke pintu jannah.
Ayat Zulaikha tampak bersungguh. Saya memancing lagi.
Jangan kau carikkan pakaian takwanya, Zulaikha.
Insya-Allah tidak sama sekali, Nafeesah. Aku bukanlah Zulaikha yang mencintai Yusuf kerana ketampanannya hingga sanggup mencemar maruah! Aku sedar tanggungjawabnya untuk bahtera yang lebih berhak. Aku tidak akan membiarkan bahunya sendeng di akhirat nanti kerana gagal berlaku adil.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Iman
Saya rasa terpukul. Saya mafhum, ucapan itu mewakili perasaannya sendiri. Benar, Yusuf idaman Zulaikha tidaklah setampan mana. Kalau dibandingkan dengan Zulaikha, bagaikan pekatnya langit malam dan cerah bersinarnya suria pagi. Yusuf bukanlah jejaka pujaan gadis. Apatah lagi, Yusuf hanyalah penjual ikan di pasar borong. Namun, setelah mengenali Yusuf yang bergelumang dengan kehanyiran ikan itu, persepsi saya lantas gugur terjunam! Yusuf itu memiliki kewangian iman yang
tidak jemu untuk dihidu! Yusuf itu memiliki sepersil ketenangan yang menjalarkan kebahagiaan!
Mata saya menombak ke wajah Zulaikha. Kecantikan yang sulit saya zahirkan. Wajah putih mulus, kening bertaut dan berhiaskan dua lekuk di tebing pipi, rupanya masih sulit untuk membeli hati lelaki. Barangkali kecantikan yang dilengkapkan dengan setambun ilmu dan kerjaya yang mantap itulah menjadikan lelaki ketakutan. Maka jadilah Zulaikha, peguam hebat yang bukan saja digeruni di dunia perundangan, malah turut digeruni oleh kumbang untuk cuba-cuba menghinggap di hatinya!
Nafeesah, kebahagiaan itu tidak terletak pada keturunan, harta benda dan kecantikan lahiriah, tapi kebahagiaan itu terletak pada agama, ilmu pengetahuan, kesopanan akhlak dan tercapainya cita-cita. Dalam hadis riwayat Imam Tarmizi pun ada menyatakan, semulia-mulia seorang suami ialah yang memberi agama kepada isterinya.
Begitulah kilah Zulaikha tatkala saya mempertikaikan mengapa mesti Yusuf? Yusuf yang kurang pada material, wajah, kedudukan, malah paling menjengkelkan kurang pada usia. Sedangkan Zulaikha dilebihkan segalanya, apatah lagi, Zulaikha yang telah dilebihkan usianya 10 tahun daripada Yusuf!
Ketika di dunia kampus bukan tidak ada yang cuba-cuba memetik mawar semerbak mengharum itu. Tetapi dia sendiri yang memejamkan mata terhadap panahan mata arjuna. Tidak hairanlah dia telah menukilkan dirinya sebagai pelajar terbaik.
Pengetahuan adalah tempat untuk kita berehat dan tempat berlindung pada hari tua. Jika kita tidak menanamnya semasa masih muda, ia tidak akan memberi perlindungan bila kita tua nanti, Nafeesah.
Itulah alasan sahabat saya yang degil itu. Apabila melangkah ke alam guaman pula, dia komited tanpa mahu menoleh-noleh lagi kepada cacamarba warna kehidupan.
Bekerja itu adalah medium yang terbaik supaya manusia cinta kepada penghidupan. Walaupun bekerja itu akarnya pahit Nafeesah, tetapi buahnya amat manis!
Itu falsafahnya sesudah mengejar cita-cita. Falsafah itulah menghadiahkan sebuah firma guaman yang gah, kereta dan rumah mewah hingga dia terlupa akan perjalanan sebuah naluri yang memerlukan sebuah perhentian. Dia lupa untuk jatuh cinta dan mengabaikan manis senyuman sang Adam. Dia membuat anologi, jangan tertipu dengan senyuman kerana sesungguhnya racun itu kadangkala dalam manisan juga.
Cuma akhir-akhir ini, setelah gemulah ayahanda bonda kesayangannya berangkat pulang ke alam barzakh, Zulaikha telah dihimpit kesunyian. Kesunyian itulah mendorongnya secara tiba-tiba mencari pelengkap hidup.
Betullah Nafeesah, orang pernah cakap, semua pengetahuan diperoleh melalui proses pembelajaran. Kecuali cinta. Cinta itu tumbuh sendiri tanpa perlu berguru.
Buat pertama kalinya dalam ukhuwah kami ini, dia tiba-tiba bersuara membenarkan cinta! Sungguh-sungguh buat saya rasa terpana.
Jangan terpaksa berkahwin kalau untuk hilangkan status andartumu, Zulaikha.
Nafeesah, kau tentunya arif sirah Khadijah dan Muhammad, bukan?
Soalannya sinis. Saya termalu. Ternyata Zulaikha cuba mengirimkan cintanya kepada Yusuf sebagaimana Khadijah cuba melakukannya kepada Muhammad. Khadijah, saudagar wanita yang sudah berusia, namun diberikan kekayaan oleh-Nya, terpikat dengan Muhammad yang jujur
membawa barang-barang dagangan Khadijah yang diniagakan di Syam. Lalu, Zulaikha menjadikan saya seperti Nafisah binti Muiyyah, teman Khadijah untuk memanjangkan lamaran. Ya, saya mewakili Zulaikha untuk meleraikan hasrat kepada Yusuf. Bunyi macam sumbang, tapi itulah realitinya. Dan, reaksi Yusuf sendiri, terkebil-kebil, linglung, gumam dan hampir kehilangan diksi.
Nafkah
Tetapi kisah ini bukan benar-benar menyalin sirah Khadijah-Muhammad. Zulaikha menginginkan Yusuf yang sudah beristeri. Ketidakmampuan kewangan Yusuf, membuatkan Zulaikha merelakan sebuah perjanjian. Perjanjian bertulis, Yusuf sebagai suami hanya perlu memberi nafkah batin, sedang nafkah zahir sepenuhnya akan ditanggung oleh Zulaikha. Zulaikha tidak kisah Yusuf jarang-jarang bermalam di rumahnya. Sedangkan, Muhammad-Khadijah susah senang bersama.
Zulaikha mencuplik pandangan Mufti Mesir, Fadhilah al-Syeikh Dr. Ali Jum'ah, yang menyatakan jika rukun-rukun nikah telah sempurna, maka sahlah perkahwinan itu dan dibenarkan jika wanita mahu menggugurkan hak yang berhak diperoleh daripada hal yang berkaitan dengan kewajipan
suami. Seperti Sayyidah Saudah binti Zam'ah yang tidak mengambil hak bermalam bersama Rasulullah, sebaliknya memberikan hak itu kepada Aisyah r.a. Buat Zulaikha, dia berhajatkan ada buah cinta yang bakal tumbuh daripada pohon cinta mereka dan dia mahu membesarkan sendiri
buah cintanya.
Cinta sejati tidak memandang wang, Nafeesah. Tetapi wang sangat penting untuk memelihara cinta, bukan?
Itu pendiriannya berkaitan prinsip-prinsip yang harus berdiri bersama cinta. Ya, kerana punya wang Zulaikha merelakan Yusuf tidak memberikan sesen sekalipun. Dia hanya menagih statusnya sebagai isteri yang dimuliakan dan dijanjikan jannah oleh-Nya.
Kau tahu, Nafeesah, wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pula pintu-pintu syurga. Wanita boleh masuk dari mana-mana pun pintu yang dia hajatkan tanpa dihisab. Malah, wanita yang taat pada suaminya, berpuasa dan bersolat, semua ikan di laut, burung-burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar buatnya.
Kelihatan Zulaikha mengumbar senyuman tatkala menceritakan sabda-sabda Nabi s.a.w itu kepada saya.
Zulaikha, perjanjian sebegitu tidak memenuhi maksud sebuah institusi perkahwinan. Surah An-Nisa' ayat 34 jelas mengatakan suami diwajibkan mencari nafkah untuk isteri dan keluarganya. Lagipun, nanti apa kata masyarakat? Masyarakat kita tidak boleh terima perkahwinan sebegini,
Zulaikha.
Aku hanya akan fikirkan tentang orang-orang yang aku cintai. Sedetik pun aku tidak izinkan waktu aku untuk memikirkan tentang orang-orang yang aku benci. Kita diciptakan di alam keimanan yang begitu luas, namun acapkali kita menyempitkan jiwa kita dengan ketakutan, kesedihan dan ketidakpastian, Nafeesah?
Saya terkedu dengan hujah Zulaikha. Betapa beruntungnya hati yang dijadikan kediaman cinta, kerana cinta membuatkan Zulaikha melupakan urusan dunia!
Aku ingin menjadi seorang ibu. Aku amat berharap benih cinta kami segera subur dan menjadi buah yang boleh dipelihara penuh kasih sayang. Doakan aku, Nafeesah!
Pahit saya menelan impian Zulaikha. Zulaikha dan ibu tunggal tiada bezanya. Cuma beza dari segi istilah. Tetapi dia tetap adalah ibu yang ditinggalkan. Punya suami tapi boleh pulang sesuka hati saat mengidamkan tubuhnya. Pastilah benih yang akan lahir itu tidak akan mempunyai ayah sebagai model hidupnya. Berkali-kali saya mengingatkan tentang nasib anaknya yang pastilah akan kekurangan kasih sayang ayah andai dia memilih perkahwinan begitu. Saya terimbas ujaran Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaily yang mengklasifikasikan perkahwinan pilihan Zulaikha ini sebagai makruh dan wajar dielakkan. Hukumnya makruh jika pernikahan ini tidak merealisasikan semua tujuan dan motif perkahwinan, kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam keadaan yang sempurna.
Mendidik adalah pekerjaan hati, Nafeesah. Cukuplah doa solehnya sentiasa mengiringi aku dan anak-anak. Di luar sana, betapa ramai ibu tunggal yang mampu mendidik anak-anaknya hingga menjadi sebaik-baik umat. Tidak mustahil pun sekarang ni, seorang ibu dapat mendidik sepuluh anak tanpa suami.
Ahh, Zulaikha terlalu realistik. Hujahnya payah dipatah-patah. .. Dia terburu-buru mahu merasai perit nikmat mengandung. Dia terlalu menagih janji-janji pahala olehNya. Zulaikha tidak sabar saat mengandungkan janin dalam rahimnya, para malaikat akan beristighfar untuknya. Dia mahu Allah mencatatkan setiap hari dengan 1,000 kebajikannya dan menghapuskan 1,000 kejahatannya.
Zulaikha tidak sabar untuk melalui saat-saat sakit hendak bersalin. Keperitan itulah yang dijanjikan Allah kepadanya bagaikan pahala orang yang berjihad kepada jalan Allah. Saat-saat dia melahirkan anak, dia akan dikeluarkan dari dosa-dosa seperti keadaan ibu yang melahirkan. Apabila menyusui anak itu, maka setiap satu tegukan daripada susu ibu akan diberikan satu kebajikan. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberikan pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Islam. Itulah bunga-bunga impian Zulaikha sedang berkembang.
Saya amat takut andai Yusuf sudah puas, rasa bosan akan menjelma tanpa bertunda-tunda. Saya takut Zulaikha akan dilepaskan tanpa belas, lalu menciptakan rafik saya itu seorang janda. Nauzubillah. Tetapi itulah yang paling saya takutkan. Kesolehan Yusuf belum cukup kuat untuk
meyakinkan saya. Seperti sabda Rasulullah: Jika sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah saat kehancuran. Adakah Yusuf impian Zulaikha layak menggalas amanah ini?
Sahabat
Wajar atau tidak, ijab dan kabul sudah pun menjadi milik Yusuf dan Zulaikha dalam walimah ringkas. Saya hanya dapat menjadi sahabat yang mendoakan kebahagiaan mereka. Meskipun Yusuf mendapat keizinan isteri pertamanya, namun keizinan itu tidaklah didatangkan dengan nilai
kerelaan yang sepenuhnya. Maka mafhumlah saya, mengapa malam giliran Zulaikha bertunda- tunda. Zulaikha pula tidaklah memendam rasa kerana memang itulah kesediaannya selama in. Malah, dia makin memperdiarkan rasa terkilannya apabila dia disahkan bunting pelamin! Maha Mencipta Rabb!


Aku mahu Yusuf sendiri yang mengazankan anak ini nanti.
Itulah doa Zulaikha. Dia tidak jemu-jemu berbual dengan janin itu. Dia semacam tiada kerinduan kepada penanam zuriat itu meskipun sepanjang hampir sembilan bulan mengandung hanya beberapa kali saja Yusuf pulang. Alhamdulillah, mungkin berkat sabarnya juga, saat mengandung
langsung tidak mendatangkan masalah. Sesekali, setiap malam Jumaat Yusuf menelefon, Zulaikha akan menekapkan telefon genggamnya ke perut. Yusuf sedang mengalunkan ayat-ayat al-Quran ke pendengaran anak mereka!
Hari ini, pada 17 Rabiulawal yang indah, Yusuf menelefon saya mengkhabarkan seorang lagi umat Muhammad akan melihat dunia. Saat saya dan suami tiba di wad, syahdu mengiringi suasana tatkala Yusuf sedang mengalunkan qamat dan azan ke telinga suci bayi itu. Saya terkenangkan
hajat Zulaikha yang sudah terlunas.
Saya menghampiri Zulaikha. Zulaikha yang masih lemah pucat, dengan lembutnya menggenggam jemari saya sembari tersenyum indah.
Nafeesah, putera bernama Al-Qaradhawi ini, akan aku tarbiahnya hingga menjadi ulama terkenal! Aku mahu tahu pula apakah pandangannya terhadap perkahwinan yang dipilih umminya ini.
Sukma saya sungguh berkocak-kocak tatkala menadah ayat terakhir Zulaikha itu.

Diari Sang Ayah


26 Januari 1992.
Hari ini, menjadi titik indah buatku. Hadirnya cahaya mata ini mengutuhkan lagi hubungan kami sebagai sepasang suami isteri. Telah lama ku tunggu saat ini menjadi kenyataan, terima kasih tuhan, aku teramat mensyukuri nikmatmu. akan ku sujud syukur sebagai tanda syukur padaMu, yang telah mengabuli doa kami. terima kasih Tuhan, akan ku jaga sang anak ini, dengan sepenuh kasih cinta. Akan ku lengkapkannya dengan agamaMu, agar cintanya hanya kepada agama, agar menjadi muslimah sejati.
26 Januari 1995.
Happy birthday sayang! semoga kamu membesar dengan penuh rasa cinta, ibumu senantiasa tersenyum melihat telatahmu yang baru belajar berdiri. Ternyata kamu sangat pintar dan cepat belajar, alhamdulillah... Semoga kamu menjadi pesona ibu dan ayah.
Januari 1998.
Hari ini merupakan hari pertama kamu melangkahkan kaki ke alam persekolahan. Ayah menghantarmu sehingga ke kelas. Kamu menangis di kelas, meminta ayah tunggu. Sayang, janganlah bimbang, di sini  kamu akan memperoleh ramai rakan dan menimba ilmu dari guru. Ayah yakin kamu akan gembira di sini.
Januari 1999.
Pertama kali melangkahkan kaki ke sekolah rendah, ayah sudah merapikan bajumu, tudung dan perkakasan sekolah, sedang ibumu sedari pagi sibuk menyiapkan sarapan dan juga bekalan. Sebentar lagi ayah akan mengejutkan kamu dari tidur biarlah ayah menatap wajah cahaya mata kesayangan ayah ini dahulu, untuk beberapa saat. Sangat comel anak ayah semasa tidur.
November 2003.
Hari ini, kamu pulang dengan senyuman, di tangan kananmu tergenggam erat sekeping slip, dengan mata yang berkaca, kamu berlari lari lalu memeluk erat ibu,dan mencium tangan ayah. Perasaan sebak timbul di hati.sambil mengucapkan ''terima kasih ayah, ibu adik berjanji akan belajar dengan bersungguh sungguh lagi,". Tahniah anakku, tidak sia-sia usaha kamu selama ini. Slip peperiksaan yang tertera huruf A berdarab lima menjadi bukti kesungguhanmu menimba ilmu, teruskan usahamu wahai anak.
Januari 2004.
Alam persekolahan sememangnya indah dan mencabar, sekolah menengah adalah perjalanan seterusnya untukmu berjaya. Teruskanlah perjuanganmu. Ayah bangga mempunyai anak sepertimu, menjagamu, melihatmu tersenyum riang, melihatmu dewasa, menjadi sesuatu yang takkan pernah ayah menyesal..:)
27 Januari 2007.
Hari ini, hati ayah sedikit runsing. Ayah terjumpa surat-surat cinta dari dalam beg sekolahmu, dan sms di telefon bimbitmu memberitahu ayah, bahawa anak ayah sudah pandai bermain cinta. Sememangnya cinta adalah pemberian Tuhan. Tetapi ketahuillah anak, usiamu belum mengizinkanmu untuk ini. Ayah meletakkannya kembali, demi tuhan, ayah sangat risau. Ayah akan cuba sebaik mungkin untuk meluahkan kepadamu, sedewasa mungkin. Ayah tahu kamu kini seorang remaja, ingin dilayan seperti seorang dewasa, ayah faham.
11 p.m.
Ayah terkejut dengan perlakuanmu. Ayah cuba untuk menerangkan kepadamu hal yang sebenar, bukan perasaanmu itu dilarang, namun waktu saja belum tepat untuk merasakan semua, tetapi kamu meninggikan suara, bila ayah menasihatimu, kamu menengking ibumu. Ibumu sedari tadi menangis, lalu tertidur dalam tangisannya. Anakku, ayah sedikit kecewa dengan sikapmu, ketahuilah, kami yang menjaga makan minummu sedari kecil, kamilah yang menyayangimu sepenuh hati, bukan dia.
28 Januari 2009.
Sekali lagi air mata ibumu tumpah dengan sikapmu. Pagi tadi ibu membersihkan bilikmu, agar nampak kemas, sedang ibumu menyapu,i bu terjumpa sebuah beg berwarna ungu. Ibu membuka zip beg tersebut kerana merasa curiga., langkah terkejutnya ibumu, pakaian-pakaian di dalam beg tersebut bukanlah hasil pembelian ibu mahupun ayah. Skirt pendek dengan warna yang pelbagai, baju tanpa lengan, seluar jeans ketat, dan alat kontrasepsi! UNTUK APAKAH ITU WAHAI ANAK! dan tanpa rasa bersalah pula kau mengakui pakaian itu hak mutlak kamu. Bukankah ayah memberikanmu didikan agama yang sempurna?
Lalu siapakah yang mengaji di hadapan ayah dari muqaddam sehingga khatam al quran? Siapakah yang menjadi ma\mum ayah selepas ibu? Siapa pula yang ayah hantar ke sekolah agama setiap petang? Siapa duhai anak? Siapa? Ibumu pengsan selepas solat maghrib tadi. Sedang engkau hilang entah ke mana, curi keluar, tanpa kami sedari.
26 Februari 2010.
Ibarat dipanah petir hati ayah dan ibu apabila mendengar pengakuanmu, "ayah,ibu...adik hamil" ya Allah, apalah dosa-dosaku ya Allah?!. Beratnya beban yang kau beri. Gelap pandangan ayah mendengarkan itu, ibumu? menangis, meraung, memikirkan cahaya matanya yang sudah jauh dari agama. Kurangkah didikan kami?. Kurangkah belaian kasih sayang kami?. Setelah kami tatang kau ibarat minyak yang penuh, lalu apakah jenis timbalan yang kau beri duhai anak?. Di manakah janjimu dahulu wahai sayang?. Janjimu yang akan belajar bersungguh-sungguh?. Sedang rakan-rakanmu pulang dengan membawa senyuman sambil menggenggam slip peperiksaan dan kau pulang membawa keputusan hamil dari hospital?. Adakah ini cara kau membalas jasa ayah dan ibumu?. Apakah ini wahai anakku. Kau melukakan hati ibu, mengguris hati ayah!. Terbayang di fikiran saat kau dijamah buaya laknat tersebut, cukup membuat hati ayah remuk, hancur, berkecai!.
Apakah kau terlupakan agamamu?. Andai kau tidak cintakan ayah dan ibumu lagi, cintailah agamu duhai anak. Kamu punya tuhan. Tuhan yang maha melihat setiap gerak gerimu! terlupakah kau pada zat yang satu itu? lalu apakah yang akan ayah dan ibu jawab, saat diasak pertanyaan dari sang Tuhan, tentang kegagalan kami mendidikmu?. Tentang kealpaan kami dalam mendidikmu?.
Tahukah kamu wahai anak, perbuatanmu bakal menghantar ibu serta ayahmu ke neraka?. Kau campakkan kami ke dalam lubang yang tersedia panasnya sejak penciptaan bumi, dengan menggunakan tangan-tanganmu sendiri!. Kau relakan jasad ibu dan ayah kau dibantai oleh Malik, si penjaga neraka. Kau biarkan kami meraung-raung dijilat api, dan kau hanya melihat kami disengat binatang-binatang bisa!. Sampainya hatimu. kenapa tidak, engkau ambil sahaja pisau, tusuk ayahmu ini, tuangkanlah racun, beri sahaja ibumu minum! lebih rela kami dibunuh, dari menelan pahitnya kenyataan.
Dan hari-hari yang kami lalui selepas itu, tidak seindah saat mengazankanmu di telinga kanan,dan iqamah di telinga kiri..
Anak menangis, meraung-raung menyesali diri yang kotor dan hina, menyesali diri yang tidak pernah mengenal erti syukur, dikurnai ayah yang sempurna. Namun, tangisan tiada lagi berguna, kerana sang ayah bakal tidur lena. Anak hanya mampu menatap wajah ayahnya yang pucat, untuk kali terakhir, sebelum kembali dikambus tanah...
Peringatan buat aku dan semua, sayangilah ibu dan ayah dan jangan pilih jalan hitam!!
"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan):
"Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang bernyala-nyala, ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka kedalam surga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak -bapak mereka, dan istri-istri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan?) kejahatan pada hari itu maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar." (QS.Ghaafir: 7-9).
Wallahualam.

Kepada Seorang Ayah yang berbahagia,

Ku bayangkan butir air mata memenuhi pelupuk matamu
saat kau membacakan baris-baris kasih sayang
kepada buah hatimu
Kusapa, ada beberapa butir air mata menggantung di sukmaku
hendak menyeruak ke dunia menemani keharuanmu

Tak ada yang dapat kuucapkan hari ini
seperti hari kemarin, aku hanya bisa membisu
coba kutulis beberapa kata ungkapan kehormatan
kepadamu yang kini duduk menyaksikan ilham Allah
merasuki tulang-tulang tuamu.

Adakah aku akan melihat orang tuaku
sebahagia lantunan nyanyian hatimu
yang hendak menempuh tahap tertinggi kodrat manusia?
aku merenung menggores bayangan butiran air matamu
yang terdorong keluar oleh kebahagiaan
aku berusaha menutupi jalan untuk air mataku
yang tak sanggup menahan keharuan
menuntut jalan keluar,
mungkin hendak berteman dengan air matamu 

AYAH TERCINTA

Keranda Untuk Ayah


Di suatu ceruk kampung, tinggal seorang tua bersama keluarga anak lelakinya. Si ayah tua ini tidak nyanyuk walaupun sudah tua. Cuma kudrat tuanya tidak lagi mengizinkan ia bekerja seperti dulu. Ketika muda dahulu, si ayah yang tua ini tanpa mengira lelah, membanting tulang empat kerat mengerjakan sawah dan kebun, demi sesuap nasi untuk keluarganya.
Itu dulu.
Kini ia sudah berumur 97 tahun. Isterinya sudah meninggal 25 tahun yang lalu. Sejak 15 tahun lepas, ia tidak lagi bekerja. Ia hanya duduk di pangkin di luar rumah, memerhati satu-satunya anak lelaki bekerja di sawah. Di situlah tempatnya melalui hari-hari, merindui kudrat lama, merindui arwah isterinya, merindui masa-masa lalu ketika anaknya masih kecil...

**********************************

"Ayah! Amin nak main benda ni, ayah tarik Amin ye!" Laung Amin, sambil jari menunjuk upih kelapa di depannya.
"Boleh...kejap ya. Ayah nak tebas semak ini dulu. Semak tebal ni bahaya. Nanti ayah tarik Amin ya," jawab si ayah, penuh kasih sayang.
"Alaa..Amin nak main sekarang. Cepatlah ayah! Cepatlah!" pujuk Amin yang berusia 11 tahun sambil menhentak-hentak kakinya.
Si ayah faham benar dengan perangai anak lelakinya itu, "nanti muncung lah tu, sehari tak mahu makan nanti," bisik si ayah di dalam hati.
"Ok, ok. Amin duduk, ayah tarik."
"Yeay! Ayah tarik laju-laju tau," gembira benar bila hajatnya dituruti. "Laju lagi! Laju lagi! Ayah tarik Amin turun cerun kat sana ye, mesti lagi laju nanti," arah Amin, sambil jarinya menunjuk ke hujung hutan.
"Ya Allah!" Jerit si ayah, ia merasakan kakinya terpijak sesuatu. Duri, barangkali. Atau kaca.
"Alaa..kenapa ayah berhenti ni? Amin belum puas lagi. Tariklah lagi."
Tanpa menghiraukan luka dan darah pada kakinya, si ayah ini terus menarik upih kelapa yang dinaiki anaknya, sehingga Amin lapar dan mengajak pulang untuk makan.
**********************************
Sesekali Amin melirih kepada ayahnya yang berada di atas pangkin, "tahu berehat saja si tua ni, pemalas betul. Aku penat-penat bekerja, dia tahu makan saja," ngomel si anak. Geram benar ia melihat ayahnya duduk tidak berbuat apa-apa, selain makan.
Suatu hari, kerana tidak tahan lagi dengan si ayah, yang dianggap menyusahkan keluarganya, kebetulan pula musim kemarau dan kekurangan makanan, Amin membuat satu keranda kayu untuk ayahnya.
"Ayah! Masuk dalam ni," tanpa berkata apa-apa, si ayah masuk ke dalam keranda.
Amin menarik keranda ke hujung hutan. Di sana ada sebuag cerun tinggi, fikirnya cerun itu sesuai untuk di membuang keranda berisi ayahnya itu, supaya si ayah tidak lagi menyusahkan ia dan keluarganya.
Sampai di cerun, sebelum sempat Amin menolak keranda itu, dia terdengar ketukan dari dalam keranda.
"Hidup lagi rupanya," bisiknya di dalam hati, dan membuka keranda. "Hah, ayah nak apa lagi?"
"Ayah tahu Amin nak buang ayah dari cerun ini. Amin nak buang ayah, Amin buang lah. Tapi Amin janganlah buang keranda cantik yang Amin buatkan ini. Mungkin anak Amin perlukan keranda ini nanti"

Biodata Kolumnis

Wan Mohd Firdaus merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Genetik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebelum ini beliau merupakan ketua team event Malaysia iluvislam.com. Kini beliau bekerja sepenuh masa dengan iluvislam.com sebagai Head of Event & Training Unit iluvislam.com. Beliau menulis di artofthoughts.wordpress.com.