SEPI ANGIN DARI KINABALU...

ku titipkan rinduku dari perantauan pada kedua orang tuaku di dalam blog ini...Ya Allah Ya Tuahnku,limpahkan lah Rahmat kasih sayangMu pada mereka....lindungi dan jauhkanlah mereka dari kecelakaan serta kurniakanlah kebahagiaanMu pada mereka di dunia dan akhirat....sesungguhnya aku terlalu menyayangi mereka...amin..

Tuesday, March 15, 2011

Ayah Dan Anak


Hari ini cukup istimewa. Ada cerita yang cukup menarik untuk dikongsi bersama.
Suatu ketika seorang ayah membawa anaknya keluar berjalan-jalan ke pusat membeli belah. Ada megasale katanya.
Maka mereka pun mula pusing memusing sekitar pusat membeli belah. Biasalah lelaki lebih gemar memerhati berbanding dengan membeli. Tak gitu wahai isteri? =P
Jalan punya jalan, akhirnya mereka sampai di bahagian makanan.
"Ayah..saya nak tu," kata si anak sambil jarinya menuding ke arah sebungkus gula-gula.
Ayahnya melihat packet gula-gula berkenaan.
"Tak boleh...takleh makan yang ni," balas si ayah.
"Nak jugak...." si anak mula bertukar warna.
"Tak boleh," ayah sedikit tegas.
"Nak jugak..nak jugak...." laungan si anak jantan mula kedengaran. Nyaring sekali.
Si ayah tidak menghiraukan taktik anaknya. Sudah fasih dan arif. Segera dipegang tangan anaknya dan dibawa masuk ke dalam kereta. Senang cerita =)
Mereka pulang.
Demikian cerita dari Mr. X. Kisah ayah dan anak.
Adapun jika diteliti kisah ini mungkin ada yang berpendapat patut sahaja dibeli gula-gula untuk anak-anak. Jangan dibiarkan memberontak. Tidak elok untuk psikologi kanak-kanak.
Namun si ayah tidak mahu menunaikan hasrat anaknya kerana bimbang akan kesihatan gigi anaknya. Si ayah inginkan yang terbaik untuk anaknya. Tapi si anak tidak mengerti. Disangkanya, itu yang terbaik untuknya, maka aku mesti memilikinya!
Sindrom ayah dan anak ini seringkali menjadi putaran kehidupan. Tatkala kita dilarang oleh Allah s.w.t, maka kita bergerak menentang Allah s.w.t. Dilarang-Nya melakukan maksiat, maka itulah yang kita buat. Sempat sunat taubat katanya.
Sahabat,
Susahlah andai yang tidak tahu berlagak tahu.
Yang zalim merasakan mereka alim.
Yang bijak suka berlagak!
Pesan Pak Tua,
"Tidak rugi mendengar nasihat guru sebab mereka memang lebih tahu!"
Yakinlah, sesungguhnya Pencipta manusialah yang maha mengetahui selok belok manusia. Maka marilah kita mempasakkan keimanan kita seteguh-teguhnya. Amar makruf nahi mungkar.
Allahuakbar.

Apa Beza Anak Lelaki Dan Anak Perempuan?


Soalan : 
Assalamualaikum Puan Jamilah. Saya mempunyai sepasang anak kembar, seorang lelaki dan seorang perempuan, akan masuk Darjah Satu tahun ini. Masalah saya ialah anak perempuan saya sejak di tadika lagi jauh mendahului abang kembarnya dari segi prestasi sekolah. Dia cepat pandai membaca, mengira dan sebagainya berbanding abang kembarnya yang malas membaca dan jauh lebih suka menghabiskan masa bermain terutama di padang permainan. Saya hairan bagaimana ini boleh berlaku sedangkan mereka sebaya, sekelas dan diajar oleh guru yang sama.
Jawapan :
Waalaikumsalam.  Secara amnya, pakar pskologi berpendapat memang terdapat perbezaan di antara anak lelaki dan perempuan. Walaupun kedua-dua anak lelaki dan perempuan mengalami proses pembesaran, mereka mengalaminya pada masa yang berbeza dan tidak semestinya pada usia yang sama.
Sebaya Tetapi Tidak Sama
Kajian menunjukkan bahawa dalam beberapa perkara, anak perempuan membesar lebih cepat daripada anak lelaki, manakala dalam perkara-perkara lain, anak lelaki pula membesar lebih cepat berbanding anak perempuan. Contohnya, semasa kecil, anak perempuan mempunyai daya pendengaran yang lebih kuat manakala anak lelaki pula mempunyai daya penglihatan yang lebih kuat. Tetapi ini hanyalah satu kecenderungan dan tidak semestinya dialami oleh setiap anak lelaki dan perempuan.  Begitu juga kebolehan membaca, menulis dan sebagainya. Perbezaan-perbezaan ini disebabkan cara otak anak perempuan dan anak lelaki itu berkembang. Namun setiap anak membesar mengikut rentak atau blue print nya sendiri. Tiada pelan mutlak untuk peringkat pembesaran anak lelaki mahupun anak perempuan.
Anak Lelaki Kurang Bijak?
Di Malaysia, terdapat kecenderungan di kalangan sesetengah ibu bapa dan tenaga pengajar yang mengatakan anak lelaki kurang bijak berbanding anak perempuan.
Perlu diingat, murid lelaki biasanya memerlukan suasana pembelajaran yang lebih interaktif. Mereka merasa resah dan gelisah serta sukar menerima apa yang diajar sekiranya terpaksa berdiam diri dan hanya mendengar apa yang diajar guru. Sukar bagi seorang anak lelaki untuk belajar jika cara penyampaian membosankan.  Apa yang mahu saya tekankan di sini ialah,kaedah pembelajaran yang boleh menarik minat anak lelaki tidak semestinya sama dengan anak perempuan.
Pun begitu, kajian menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di dalam apa yang boleh dipelajari oleh anak lelaki atau anak perempuan. Kedua-duanya sama mampu mencapai apa yang mereka impikan asalkan sanggup berusaha bersungguh-sungguh.
Berikan Tumpuan Seimbang
Berikan perhatian kepada anak lelaki sama seperti yang diberikan kepada anak perempuan.  Galakkan dia bercerita tentang dirinya, kawan-kawannya dan saat-saat gembiranya setiap hari. Kenal pasti aktiviti yang diminatinya. Sekiranya dia gemar melakukan uji kaji sains contohnya, belilah barang-barang yang diperlukan agar dia boleh melakukan uji kaji itu sendiri. Secara amnya, anak lelaki gemar melakukan aktiviti-aktiviti yang menggunakan tangan. Mereka suka membina dan memotong bahan-bahan dan melihat sendiri hasil kerja tangan mereka terbentuk. Paling penting, lakukanlah aktiviti-aktiviti ini bersamanya.
Anak Lelaki dan Minat Membaca
Yang saya maksudkan dengan 'membaca' ialah: Memupuk tabiat suka membaca selain daripada buku sekolah. Ini kerana, apa yang ditemui dalam buku-buku sekolah amat terhad dari segi kandungannya.
Beberapa idea yang boleh dilakukan untuk menggalakkan anak lelaki membaca:
  • Wujudkan suasana rumah yang mesra pembaca. Sediakan ruang membaca. Letakkan lebih banyak rak buku dan majalah di rumah. Pergilah membeli-belah buku bersama-sama dengan anak lelaki anda. Pekalah dengan pesta-pesta buku.Perkenalkan dia kepada apa jua buku-buku yang terdapat di luar sana, sesuai dengan umurnya.
  • Membaca di hadapannya. Anak lelaki perlu melihat ibu bapa mereka juga membaca. Ceritakan apa yang menarik di dalam buku atau majalah yang dibaca.
  • Bacakan buku untuknya. Setiap hari, luangkan masa untuk membaca buku kepada anak anda. Minta dia pilih buku ceritanya sendiri. Sesetengah ibu bapa suka membaca untuk anak kecil tetapi berhenti berbuat demikian apabila anak tersebut melangkah ke alam persekolahan. Alasan yang diberikan ialah kerana anak itu sudah pandai membaca sendiri. Sebenarnya saat-saat apabila seorang ibu atau bapa membacakan sesebuah buku cerita adalah sangat istimewa bagi seseorang anak itu. Bacalah dengan intonasi yang menarik, mengikut jalan cerita, bukan setakat untuk melepaskan batuk di tangga. Anak bongsu saya sudah berusia 12 tahun tetapi sehingga hari ini saya masih membaca novel kegemarannya untuknya apabila diminta!
  • Jangan paksa anak lelaki membaca sesuatu yang tidak diminatinya. Seboleh-bolehnya, bantu anak lelaki untuk memilih sendiri buku-buku kegemarannya. Jadikan pengalaman membaca sesuatu yang menyeronokkan.
Anak Lelaki Dan Testosteron
Mengenai kecenderungan anak lelaki untuk bermain di luar: Anak lelaki mengalami kitaran testosteron yang boleh menyebabkan perubahan-perubahan ketara pada umur tertentu. Pada usia empat tahun, mereka aktif dan berkelakuan kebudak-budakan. Pada usia lebih kurang 13 tahun, mereka melalui pembesaran yang cepat dan adakalanya berasa sukar untuk menyesuaikan diri. Pada usia 14 tahun, mereka akan mula mencuba perkara-perkara baru dan melangkah ke alam kedewasaan. Setiap anak lelaki unik, tetapi testosteron lah yang bertanggungjawab di atas pembesaran mereka dan membuatkan mereka aktif. Testosteron ialah hormon yang memberikan seseorang anak lelaki ledakan tenaga yang tinggi dan membuatkan dia terangsang untuk aktif bermain di luar. Ini suatu perkembangan yang sihat dan perlu difahami dan disokong oleh setiap ibu bapa.

Biodata Kolumnis


Jamilah Samian seorang Certified Professional Trainer (CPT) dan aktif dalam Toastmasters International. Beliau berkelulusan Ijazah Psikologi dari Upper Iowa University (USA), Ijazah Sains Komputer dan Matematik dari Indiana State University (USA) dan Diploma Penulisan dari London School of Journalism (UK). Beliau adalah penulis buku "Cool Mum Super Dad" dan "Cool Boys Super Sons." Sebuah ungkapan yang paling beliau gemari adalah "I believe in the amazing human capacity to change for the better."

Anak-Anak Perlu Disayangi...


Tiadalah yang paling mengguris emosi saya setiap kali membaca berita di tanah air melainkan paparan bayi dibuang ibu. Percaya atau tidak, hampir setiap hari ada sahaja berita tentang jenayah "binatang buas" ini. Bertahun-tahun lamanya saya tinggal di "negara bukan Islam" tetapi saya tidak pernah sekalipun terbaca berita seumpama ini.
Sebagai seorang bapa yang tinggal berjauhan dengan anak kesayangan di benua yang berlainan, hati saya amat tersentuh. Bagaimanakah mungkin seorang manusia khususnya wanita yang berhati lembut sanggup membuang anak yang telah dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari?
Apakah penyebab dan kronologi yang menjadikan hati mereka ini terlalu keras dan tidak berperikemanusiaan? Benarlah seperti yang dikata, dalam alam haiwan tiada manusia, tetapi dalam alam manusia banyak haiwan.
Saya tidak pernah bergaul dengan ibu bapa yang sanggup membuang anak, justeru apa yang saya nukilkan barangkali kurang tepat. Tetapi saya percaya terdapat dua faktor mengapa mereka sanggup membuang anak mereka sendiri.
Pertamanya, kerana anak tersebut dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Untuk mengelak malu, maka anak yang tidak berdosa tersebut dibuang.
Keduanya, mungkin kerana faktor kemiskinan. Maka ibu bapa tidak sanggup menjaga anak kandungnya sendiri dan membuangnya dengan harapan akan diambil dan mendapat penjagaan yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab.
Anak-anak kecil adalah insan yang amat istimewa dalam hidup ini. Walau bagaimanapun cara mereka dilahirkan, sama ada daripada hubungan yang halal atau haram anak-anak tersebut adalah sentiasa suci, halal, dan murni.
Istilah "anak haram" di kalangan masyarakat Malaysia adalah suatu budaya negatif yang perlu ditukar sama sekali. Dalam ajaran Islam, semua manusia dilahirkan dalam keadaan bersih dan suci. Walaupun ibu dan ayah mereka bukan beragama Islam, mereka tetap dijamin masuk syurga andai mereka meninggal dunia sebelum baligh.
Bayi yang dilahirkan ke dunia tidak pernah terpalit dengan dosa. Sekiranya anak-anak kecil kita sudah pandai berdoa, maka aminkanlah doa mereka. Atau sekiranya kita membaca doa, galakkan mereka mengaminkan doa kita. Amin itu bermaksud Allahumastajib (اللهم استجب), Ya Allah perkenankan. Masakan mungkin tertolak doa daripada anak-anak kecil yang masih suci ini.
Anak-anak kita juga merupakan pelaburan yang terjamin pulangannya. Sekiranya kita mati kelak, semua amalan akan terputus melainkan tiga perkara. Salah satunya ialah doa daripada anak yang soleh tanpa mengira status anak tersebut.
Sekiranya anak yang soleh mendoakan ibu dan ayahnya selepas kematian mereka, doa tersebut dianggap sebagai bekalan yang akan mengalir terus ke dalam kubur mereka sehinggalah ke hari pertimbangan kelak. Ini ialah janji Allah yang mustahil dimungkiri. Justeru mengapa perlu dibuang anak-anak yang tidak berdosa tersebut.
Sekiranya malu dengan perhubungan luar nikah atau tidak mampu membesarkan anak-anak, membuang mereka merata-rata bukanlah jalan penyelesaiannya. Sebaliknya, berilah mereka kepada orang yang dipercayai atau kepada pihak yang berwajib. Mungkin doa mereka mampu membantu kita apabila kita telah tiada kelak.
Jika berkemampuan, adalah lebih elok jika menjaga mereka dengan baik, berilah mereka kasih sayang yang sewajarnya diberikan kepada seorang anak. Mereka tidak meminta untuk dilahirkan di dunia. Tetapi apabila sudah dilahirkan, mereka mempunyai hak untuk meneruskan kehidupan.
Semua manusia membuat kesilapan. Sekiranya terlajak, janganlah menambah lagi kesilapan dengan kesilapan yang lain. Bertaubatlah, dan bimbinglah mereka dengan baik sebagai peluang untuk memperbaiki diri.
Masyarakat di sekitar perlulah memberi sokongan untuk membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan. Janganlah sesekali pinggirkan mereka kerana ia akan lebih merumitkan keadaan. Mereka amat memerlukan bimbingan dan sokongan semua untuk kembali menjalani kehidupan yang berlandaskan ajaran Allah.
Taboo "anak luar nikah" adalah produk persepsi negatif masyarakat ke atas pasangan terlajak. Hentikan sikap pesimis kepada mereka. Berikan harapan dan peluang kepada mereka untuk membaiki kesilapan. Kita hanyalah manusia biasa yang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.
Sedangkan Allah tetap mengampunkan semua makhluknya yang bertaubat dengan taubat nasuha, siapalah kita yang hanya makhluk ciptaan-Nya yang lemah terlalu ego untuk memberi kemaafan.

Biodata Kolumnis

Ustaz Ahmad Irfan Ikmal Hisham merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaysia Pahang (UMP). Sebelum ini beliau merupakan lulusan sarjana (master) dalam bidang Islamic Jerusalem Studies dari University of Aberdeen, United Kingdom (UK). Isteri beliau merupakan pelajar PhD di University of Aberdeen. Ketika beliau di UK, beliau pernah menjadi panel soal jawab agama iluvislam.com. Beliau menulis di abidfana.com.

Nilai Seorang Anak


Semalam merupakan hari pertama saya membuat praktikal di hospital. Di Rusia, untuk tahun kedua perubatan, disebabkan masih tidak banyak yang dipelajari, maka sukatan untuk praktikal adalah membuat kerja-kerja yang berkaitan dengan kejururawatan. Semua rakan-rakan telah pulang ke Malaysia menikmati cuti indah bersama keluarga, hanya saya yang gatal kaki untuk cuba mencari pengalaman di sini.

Sepanjang satu hari semalam, hanya satu yang mahu dikongsi. Ceritanya begini.
Jururawat memanggil kami (saya dan seorang lagi pelajar), untuk membantunya membersihkan badan-badan pesakit. Ketika sudah selesai dua tiga orang pesakit, kami mendekati seorang tua, yang berselimut. Ketika kami sampai, di bilik tersebut ada 4 orang pesakit yang lain turut menempati bersama di bilik tersebut.
Jururawat itu, menarik kain selimut yang menyelimuti badan pakcik tua ini, dan dengan itu jugalah, keluar bauan yang sungguh memedihkan hidung. Kami dapati, katil pakcik ini penuh dengan najis (tahi). Hanya Allah yang tahu bau dia macam mana. Ketika ini, dua orang pesakit keluar dari bilik ini untuk duduk di luar, tidak tahan bau yang dihasilkan. Jururawat meminta pakcik ini untuk turun dari katil, dan digagahi oleh seorang pelajar lagi. Saya tidak berani mendekati, hanya memerhati apa yang dilakukan.
Kerja-kerja pembersihan dilakukan, ketika sedang berdiri ini, pakcik tua ini, yang kakinya tidak gagah untuk berdiri, yang ditongkat oleh pelajar, telah membuang air besar di situ juga. Kami yang ada di situ hanya pasrah. Saya hanya membantu menarik kain-kain tilam dari katil. Jururawat menunggu sehingga pakcik ini selesai membuang hajatnya.
Jururawat memberitahu, bahawa pakcik ini selama dia sakit, tiada siapa yang menziarahinya. Dalam hati kecil, kesedihan membungkam jiwa saya. Jururawat ini, mula mengelap bahagian badan pakcik ini, pakcik ini megadu letih berdiri. Kemudian, kami menarik cadar dari tilam dan menggantikannya dengan yang baru. Badan pakcik tua itu dibersihkan sebelum dia dibenarkan baring kembali.
Selesai itu, lantai dibersihkan dari najis yang dibuang oleh pakcik ini. Setelah segalanya selesai, pakcik tua diberikan baju untuk dipakai semula.
Setelah selesai semua sekali, kami beredar dari bilik tersebut. Saya mengambil tempat di bilik rehat. Hati betul-betul terasa. Merasakan bahwa begitu berharganya seorang anak apabila ibubapa sudah sampai di usia seperti pakcik itu.
Ketika menulis ini, tidak tahu bagaimana mahu mengungkap perasaan ketika itu. Dalam hati hanya berdoa:
"Ya Allah, kau matikanlah daku sebelum sempat aku menderhaka kepada kedua ibu bapaku, dan jika kau anugerahiku isteri dan zuriat, kau matikanlah daku sebelum sempat mereka derhaka kepadaku."
Balik petang itu dengan seribu satu perasaan gelisah. Gelisah jika diri berada di situasi anak-anak pakcik itu, tidak bersabar malah meninggalkan ibubapa di rumah pesakit. Gelisah jika anugerah isteri dan anak-anak, jadi seperti pakcik itu. Mudah-mudahan diri ini dijauhkan dari segala yang pakcik itu hadapi.
*****
Arzalil 'umur (surah al-hajj:5) - waktu di mana seseorang sudah hilang kewarasan akal, seperti mana seorang bayi kecil. Di waktu ini, semua ciri-ciri budak kecil ada pada lelaki berumur. Kebersihan dirinya, semuanya bergantung kepada orang lain untuk menguruskannya.
Moga-moga diriku dijauhkan dari tahap waktu umur ini.

Kotak Kasih Untuk Ayah


Satu hari ketika seorang ayah membeli beberapa gulung kertas bungkusan hadiah, anak perempuannya yang masih kecil dan manja sekali, meminta satu gulung daripada beliau.
"Untuk apa?", tanya si ayah. "Nak bungkus hadiah", jawab si kecil.
"Jangan dibuang-buang ya", pesan si ayah, sambil memberikan satu gulungan kecil.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi si kecil sudah bangun dan membangunkan ayahnya, "Yah, Ayah... ada hadiah untuk Ayah."
Si ayah yang masih menggeliat, matanya pun belum lagi terbuka sepenuhnya menjawab, "Sudahlah.... nanti nanti saja."
Tetapi si kecil pantang menyerah, "Ayah, Ayah, bangun Ayah, dah pagi."
"Eh... kenapa ganggu ayah... masih terlalu awal lagi untuk ayah bangun."
Ayah terpandang sebuah bungkusan yang telah dibalut dengan kertas pembungkus yang diberikan semalam.


"Hadiah apa ni?"
"Hadiah hari jadi untuk Ayah. Bukalah Yah, buka sekarang."
Dan si ayah pun membuka bungkusan itu.
Ternyata di dalamnya hanya sebuah kotak kosong. Tidak berisi apa pun juga.
"Eh.. kenapa kosong?? Tak ada isi di dalamnya. Kan Ayah dah kata jangan buang-buang kertas bungkusan Ayah. Membazir tu"
Si kecil menjawab, "Tak Ayah, ada isi tu... tadi kan, Puteri masukkan banyak sekali ciuman untuk Ayah."
Si ayah merasa terharu, dia mengangkat anaknya lalu dipeluk dan diciumnya.
"Puteri, Ayah belum pernah menerima hadiah seindah ini. Ayah akan selalu menyimpan hadiah ini.
Ayah akan bawa ke pejabat dan sekali-sekala kalau perlu ciuman Puteri, Ayah akan mengambil satu. Nanti kalau kosong diisi lagi ya!"
Kotak kosong yang sesaat sebelumnya dianggap tidak berisi, tidak memiliki nilai apa-apa pun, tiba-tiba terisi, tiba-tiba memiliki nilai yang begitu tinggi. Apa yang terjadi?
Lalu, walaupun kotak itu memiliki nilai yang sangat tinggi di mata si ayah, namun di mata orang lain tetap juga tidak memiliki nilai apa pun dan menganggapnya sebuah kotak kosong.
Sahabat-sahabat, sebagaimana anda memandangi hidup demikianlah kehidupan anda. Hidup menjadi bererti, bermakna, kerana anda memberikan erti kepadanya, memberikan makna kepadanya. Bagi mereka yang tidak memberikan makna, tidak memberikan erti, hidup ini ibarat lembaran kertas yang kosong.